Selamat Datang

Peristiwa

Hiroo Onoda Menyerah Selepas 29 Tahun Jepun Menyerah Kalah

Hiroo Onoda adalah salah seorang tentera Jepun yang terakhir menyerah setelah 29 tahun selepas Tentera Jepun menyerah kalah kepada tentera sekutu di atas kapal U.S. A Missouri pada 2 September 1945.

Onoda dilahirkan pada 19 Mac 1922 di kampung Kamekawa di wilayah Wakayama, Jepun. Dia berasal dari keluarga yang mempunyai salasilah pahlawan yang panjang, bermula dari keturunan nenek moyangnya yang merupakan pahlawan samurai dan dari darah yang sama mengalir ke jasad ayahnya yang merupakan seorang sarjan di Kavalri tentera Jepun yang bertempur dan tewas dalam Perang Sino-Japanese Kedua di China.

Hiroo Onoda

Onoda mengikuti jejak langkah seperti datuknya dengan mendaftarkan diri sebagai tentera sebaik sahaja dia berusia 18 tahun iaitu hanya satu tahun sebelum Jepun berperang dengan Amerika Syarikat berikutan serangan Jepun ke atas Pearl Harbor.

Di dalam tentera, Onoda dilatih sebagai pegawai perisikkan di kelas komando “Futamata” di Sekolah Nakano, sebuah pusat latihan ketenteraan yang mengkhususkan dalam latihan teknik-teknik ketenteraan yang tidak konvensional, termasuk perang gerila, sabotaj, perisikkan, dan propaganda. Dia dihantar ke Pulau Lubang di Filipina sebaik sahaja tamat latihannya pada bulan Disember 1944.

Dua tahun sebelum itu, Angkatan Tentera Jepun telah menguasai Filipina, merampas kawalan kerajaan Filipina dan pasukan Amerika yang ditempatkan di negara itu. Bagaimanapun, tentera mereka terpecah kepada unit-unit yang kecil dan bertaburan ketika Amerika memulakan serangan balas terhadap negara pulau itu pada awal 1944, dan dengan mudah Amerika menekan mereka lalu terpaksa berundur.

Pada musim sejuk tahun 1944, ramai tentera Jepun terpaksa keluar dari pulau-pulau utama Filipina dan telah berundur ke pulau-pulau kecil kepulauan Filipina seperti Pulau Lubang.

Dengan kemahiran dari latihan dalam taktik peperangan gerila, Hiroo Onoda dihantar ke pulau kecil tersebut pada 26 Disember 1944 bagi menggunakan semua kemahirannya untuk menahan kemaraan tentera Amerika dan Filipina seberapa lama yang boleh. Onoda menggunakan taktik apabila mereka hampir dikalahkan dalam peperangan secara konvensional, mereka akan berundur ke dalam hutan untuk melakukan serangan balas secara gerila.

Tujuannya adalah untuk menghalang tentera A.S. dari mengukuhkan kekuatan tentera di rantau itu serta memperlahankan keupayaan mereka untuk bergerak lebih dekat ke arah Jepun. Tindakan ini akan memberikan tentera Jepun lebih banyak masa untuk berkumpul dan bersedia untuk melakukan serangan semula. Unit gerila ini juga bertindak sebagai pengintip dan memerhati gerak- geri pihak tentera bersekutu.

Walau bagaimanapun, apabila Hiroo Onoda tiba di pulau itu, pegawai-pegawai atasan di sana enggan membiarkan dia melaksanakan tugas sebaliknya, mengarahkan dia bertempur secara berhadapan   untuk melawan serangan pasukan tentera Amerika. Akibatnya pada 28 Februari 1945, tentera Jepun ditewaskan dengan mudah

Melihatkan kekalahan yang akan berlaku, Onoda bersama tiga rakan tenteranya iaitu Prebet Yūichi Akatsu, Koperal Shōichi Shimada, dan Prebet Kelas Pertama Kinshichi Kozuka berundur dan mengarahkan mereka masuk ke dalam hutan bersamanya untuk memulakan perang secara gerila. Dari situlah permulaan detik 29 tahun peperangan secara gerila Hiroo Onoda bermula.

Pegawai Pemerintah Onoda iaitu Major Yoshimi Taniguchi memberi arahan terakhirnya kepada Leftenan Onoda, untuk bertahan dan berperang. “Ia mungkin mengambil masa tiga tahun, ia mungkin mengambil masa lima, tetapi apa sahaja yang berlaku, kami akan kembali untuk anda,” kata janjinya.

Onoda bersama tiga rakan tenteranya mampu meneruskan kelangsungan hidup bergantung dengan beras, kelapa dan ternakan yang dicuri dari ladang penduduk.

Pada bulan Ogos 1945, ketika peperangan antara Jepun dan Amerika sudah berakhir, Onoda telah melihat pertempuran mulai reda tetapi tidak mengesyaki bahawa negara asalnya telah pun menyerah kalah. Dia masih meneruskan perang persendiriannya, menyerang petani tempatan, dan terlibat dalam tembak-menembak dengan polis apabila mereka dihantar untuk menangkapnya.

Mengetahui kewujudan unit-unit gerila Jepun ini, yang telah terputus hubungan dengan negaranya, Amerika Syarikat telah membuat beberapa usaha untuk memastikan berita penyerahan Jepun sampai kepada gerila-gerila Jepun tersebut termasuklah menjatuhkan risalah-risalah dari pada kapal terbang bagi menerangkan mengenai penyerahan kalah Jepun kepada Amerika.

Hiroo Onoda dan rakan-rakannya mula-mula menemui risalah Amerika yang mengumumkan pengakhiran dan penyerahan Jepun pada bulan Oktober 1945. Bagaimanapun, dia cepat-cepat menolak dokumen itu dan merasakan ia adalah sebagai satu propaganda seperti mana yang dia dilatih semasa latihan ketenteraannya di Jepun.

Risalah Penyerahan Diri

Menjelang akhir tahun 1945, lebih banyak risalah digugurkan, kali ini dengan pesanan penyerahan yang dicetak pada mereka dari Ketua Tomoyuki Yamashita dari Tentera Kawasan Keempat belas. Sekali lagi Onoda dan rakan-rakannya dengan teliti mengkaji dokumen itu, dan akhirnya menyimpulkan bahawa ia adalah palsu. Onoda tidak dapat menerima dan membayangkan bahawa Jepun akan menyerah kalah dan yakin mereka akan bertarung sehingga titisan darah tentera yang terakhir.

Onada dan rakan-rakannya meneruskan kempen serangan mereka di kawasan luar bandar, dan ia memberi tekanan kepada pihak berkuasa Filipina. Menjelang tahun 1949, salah seorang rakan Onoda, Yūichi Akatsu, telah mula menyedari bahawa peperangan telah pun berakhir. Dia melangkah pergi meninggalkan sisa- sisa unitnya dan hidup sendirian selama enam bulan sebelum menyerah kepada Tentera Filipina pada bulan Mac 1950.

Penyerahan Akatsu membuka mata seluruh dunia tentang tentera Jepun yang masih berada di Pulau Lubang. Berbekalkan pengetahuan itu Amerika menghubungi keluarga mereka yang terlibat dengan mendapatkan gambar dan surat keluarga dari saudara-mara mereka bagi mendesak untuk pulang ke tanahair mereka dengan menghantar mesej tersebut ke seluruh pulau tersebut pada tahun 1952.

“Kami menjumpai risalah dan foto dari keluarga kami,” teringat Onoda dalam wawancara kemudian berkata. “Saya menganggap mereka hidup di bawah taklukkan dan terpaksa mematuhi pihak berkuasa untuk terus hidup.”

Dua dekad seterusnya merupakan hari-hari yang makin mencabar dan sukar buat Hiroo Onoda. Pada tahun 1954, dia kehilangan seorang lagi rakan seperjuangannya ketika Koperal Shōichi Shimada ditembak mati semasa dalam satu operasi oleh pihak berkuasa Filipina. Kemudian pada tahun 1972, teman terakhirnya, Kinshichi Kozuka, ditembak mati oleh polis ketika mereka berdua sedang membuat serangan pada sebuah kampung.

Onoda terus berjuang, seorang diri tanpa teman melancarkan perang terhadap sebuah kerajaan. Pada masa yang sama kisah perjuangannya mula menarik ramai minat penduduk Jepun. Rentetan selepas sekembalinya Akatsu serta khabar kematian Shimada dan Kozuka, penduduk Jepun mula menyedari dengan kisah Hiroo Onoda yang sebelum ini samar-samar di sebalik tebalnya hutan Filipina.

Norio Suzuki seorang anak muda warga Jepun yang amat gemar mengembara. Hobi menerokai alam yang luas ini mendetik hatinya untuk bersua sendiri dengan leftenam Onodo yang namanya kian meniti dari bibir ke bibir penduduk Jepun. Hasratnya menjadi kenyataan apabila dia tiba di Filipina pada bulan Februari tahun itu dan mendapati Hiroo Onoda berada di dalam hutan Pulau Lubang.

Tentera yang semakin tua itu pada mulanya curiga terhadap Suzuki namun perasaan itu mula berubah apabila suara anak muda tersebut mula menusuk ke hatinya yang sekian lama memendam rindu pada tanahairnya, “Onoda-san, Maharaja dan rakyat Jepun bimbang tentang kamu.”

Ketika perasaan Onodo semakin tenang dibuai ingatan pada kampung halaman Suzuki mula mengajukan soalan yang terpahat dalam minda Onodo.

Onoda ketika teringat pertemuan itu, berkata, ” Suzuki budak yang suka mengembara itu datang ke pulau itu untuk mendengar perasaan seorang askar Jepun. Suzuki bertanya kepada saya mengapa saya tidak mahu keluar … “

Dia memberitahu budak lelaki itu bahawa dia tidak akan meninggalkan pulau itu sehinggalah dia dilepaskan dari tugasnya oleh pegawai atasannya.

Apabila kaki Suzuki menjejak kembali ke bumi Jepun pada tahun yang sama, ia bingkas memberitahu kerajaan Jepun mengenai keadaan Onoda.

Pemerintah Jepun mula menjejak kembali pegawai pemerintah Onoda iaitu Major Yoshimi Taniguchi, yang di masa itu menjadi seorang penjual buku, lalu terbang ke Lubang untuk bertemu Onodo.

Pada tanggal 9 Mac 1974, pada usia 52 tahun, Hiroo Onoda mula muncul dari hutan, masih berpakaian seragam rasmi tenteranya dan dengan senapang dan pedangnya yang masih dalam yang sangat baik, bersedia untuk menerima perintah dari komandannya untuk menurunkan tangannya

Walaupun hatinya rasa serba salah bimbang-bimbang ini adalah satu perangkap yang mungkin akan memudarat dirinya serta misi yang masih dipikul dibahunya namun arahan komandannya tetap dipatuhi. Dia meletakkan senapang yang merupakan teman seperjuangan yang masih bernyawa bersama 500 pusingan peluru, pedang dan pedang istiadat serta pisau, lalu menunjukkan tanda hormat ke pada panji tanah airnya.

Onodo menyerahkan pedangnya kepada Presiden Filipina sebagai tanda menyerah diri dan telah diampunkan kesalahannya di atas kemusnahan yang dilakukan terhadap terhadap Filipina.

Sekembalinya dia ke Jepun, dia disambut oleh ibu bapanya yang kian tua dan orang ramai yang melambai bendera tanda hormat kepada wira mereka.

Selepas sambutannya di Jepun, Encik Onoda telah diperiksa oleh doktor, dan mendapati dia dalam keadaan yang sangat baik. Dia diberi pencen tentera dan menandatangani kontrak $ 160,000 untuk satu penerbitan “No Surrender: My Thirty-Year War.” kisahnya menjadi global dalam buku, artikel dan dokumentari, Namun di masa yang sama dia cuba menjalani kehidupan yang normal.

Bagaimanapun, Onoda tidak pernah merasa tenang dengan kebenaran yang dia terima mengenai Jepun Baginya Jepun telah berubah tidak seperti Jepun yang dia tinggalkan dahulu. Baginya Jepun tidak sepatutnya menyerah kalah dan tunduk kepada tentera bersekutu.

Tidak lama selepas dia kembali, dia terlibat dalam politik sayap kanan, menyeru kepada perubahan Jepun yang lebih kuat. Namun perubahan besar yang telah berlaku di Jepun semasa ketiadaannya  membuatnya tidak rasa selesa.

Pada tahun 1975, dia berpindah ke tanah jajahan Jepun di São Paulo, Brazil, di mana dia menternak lembu. Pada tahun berikutnya, beliau berkahwin dengan Machie Onuku, guru tarian Jepun. Pasangan ini kembali ke Jepun pada tahun 1984 dan mengasaskan Sekolah Nature Onoda yang merupakan kem kemahiran survival.

Encik Onoda melawat semula Pulau Lubang Filipina pada tahun 1996 dan menderma $ 10,000 kepada sekolah di sana. Akhirnya, pada 6 Januari 2014, Hiroo Onoda meninggal akibat kegagalan jantung pada usia 91 tahun.

Related posts
Peristiwa

Peperangan Okinawa 1945

Peristiwa

Projek Manhattan: Bermulanya Sebuah Kemusnahan

Peristiwa

10 Fakta Pengeboman Hiroshima Dan Nagasaki

Peristiwa

Pengeboman Hiroshima Dan Nagasaki

Leave a Reply

Worth reading...
Pengeboman Hiroshima Dan Nagasaki