
Baru-baru ini terdapat satu laporan menyatakan, kerajaan mensasarkan untuk menaik taraf semua pengguna Streamyx ke Unifi, selewatnya Mac 2019. Ia dinyatakan sendiri oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, ketika menjawab soalan di Parlimen.
Ketika menjawab soalan kepada Senator Ismail Ibrahim, yang bertanya soalan mengenai langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam menyelesaikan isu Streamyx, Eddin Syazlee memberitahu bahawa, pengguna Streamyx sedia ada sedang dinaiktaraf secara berperingkat-peringkat bagi yang termasuk di dalam kawasan liputan Unifi.
Menurut beliau pengguna yang berada di luar kawasan liputan Unifi, kelajuan jalur lebar akan dinaiktaraf ke 8Mbps, atau mereka akan diberi akses ke rangkaian 4G LTE. Semua naiktaraf ini akan diberikan secara percuma, tanpa dikenakan sebarang caj tambahan.
Penjelasan TM
Bagi menjelaskan situasi kenyataan tersebut, TM telah tampil dengan satu kenyataan rasmi. Dalam kenyataan rasmi tersebut pengguna Streamyx yang berada di luar kawasan Unifi, kelajuan Streamyx mereka akan digandakan 2 kali sehingga maksima 8Mbps.
Ini bermakna, pengguna Streamyx 1Mbps akan menerima naik taraf 2Mbps, manakala 2Mbps akan menjadi 4Mbps dan 4Mbps menjadi 8Mbps. Walaubagaimana pun pengguna 8Mbps tidak akan menerima sebarang naiktaraf.
Ketika mengumumkan naiktaraf pada bulan Julai lepas, TM telah menyatakan bahawa sebanyak 340,000 pengguna Streamyx sedia ada boleh bertukar ke Unifi, manakala 350,000 lagi pengguna pula akan dinaiktaraf kepada kelajuan 2x ganda.
Dalam kenyataan terbaru ini, TM menyatakan sebanyak 60% pengguna dari jumlah 340,000 tadi telah bertukar ke Unifi, sambil mengekalkan harga pelan mereka. Tinggal lagi 136,000 yang masih belum bertukar ke Unifi. TM menambah, mereka berusaha keras untuk berhubung dengan pengguna Streamyx bagi memberi naik taraf Unifi.
TM juga menyeru pengguna untuk mengemaskini nombor telefon dan emel mereka menerusi portal Unifi atau aplikasi self care, agar dapat dihubungi untuk urusan naiktaraf. Selain itu, sebanyak 70% pengguna Streamyx di luar kawasan Unifi telah menerima naiktaraf kelajuan 2x ganda. Hanya tinggal 65,000 pengguna lagi yang masih belum menerima naiktaraf kelajuan.
TM
pengguna Streamyx hanya boleh menerima kelajuan maksima 8Mbps sahaja, ini disebabkan had kemampuan teknologi di kabel tembaga.
TM turut menjelaskan, pengguna Streamyx hanya boleh menerima kelajuan maksima 8Mbps sahaja, ini disebabkan had kemampuan teknologi di kabel tembaga. TM turut memberi pilihan lain untuk pengguna Streamyx dengan bertukar ke Unifi Mobile LTE Wireless Broadband.
Untuk maklumat TM kini menawarkan Unifi Mobile LTE Wireless Broadband pada harga RM79 dengan kuota 60GB internet dalam sebulan. Bagi pengguna lain yang tidak dapat menerima sebarang naiktaraf, TM sedang berusaha mencari penyelesaian menang-menang bersama kerajaan serta penyedia jalur lebar yang lain.